Tuesday, January 15, 2008

Cinta Luar Biasa



Cinta luar biasa..
Cinta seorang Kekasih kepada umatnya..
Hingga pada hembusan nafasnya yang
terakhir..
Lidah Rasulullah menuturkan tanpa
henti..
Ummati.. ummati.. ummati..


Cinta luar biasa..
Kisah cinta Handzalah..
Meninggalkan isteri di malam
pernikahan..
Lantaran menyahut seruan jihad..
Akhirnya syahid di medan perjuangan..

Cinta luar biasa..
Seteguh kasih Khadijah..
Tak pernah jemu memberikan sokongan..
Rela mengorbankan segala kemewahan..
Di saat Rasulullah dan Islam
dipinggirkan. .

Cinta luar biasa..
Kisah kesetiaan Abu Bakar..
Kasih seorang sahabat yg tiada
tandingan..
Insan yang sentiasa membenarkan. .
Sewaktu kata-kata Rasulullah
dipersendakan. .

Cinta luar biasa..
Kisah ketabahan Hajar..
Ditinggalkan di tanah yang gersang
bersama Ismail..
Bukti kasih seorang ibu yg berlarian
mencari air..
Tatkala mendengar tangisan si anak
kecil..

Cinta luar biasa..
Umpama keberanian Ali..
Di malam penghijrahan Nabi..
Menggantikan Rasulullah di tempat
tidurnya..
Walaupun jiwa menjadi taruhan..

Cinta luar biasa..
Cinta Asiah, Masyitah dan Sumaiyyah..
Menggadaikan nyawa demi mempertahankan
aqidah..
Iman di dada tak sedikit pun goyah..
Kerana keyakinan yang teguh atas
segala janjiNya..
Kisah cinta luar biasa..
Insan pilihan yg berada di atas
jalanNya..
Betapa tulusnya kasih, teguhnya jiwa..
Redha dan sabar menempuh segala ujian..
Merekalah insan yg memahami erti
kemanisan iman.

Mampukah diri ini meraih cinta luar
biasa..??

Saturday, January 12, 2008

Manusia hari ini dalam kegelapan


Kegelapan tidak boleh dihalau melalui kata-kata. Kegelapan hanya boleh diusir melalui usaha membawa api yang dengan sendirinya nanti akan menerangi sekali gus mengusir kegelapan itu.

"Hey, pergilah dikau wahai kegelapan," kata Fansuri sambil berbayan tasykil. Ekor matanya mengerling ke arah jemaah di sebalik tirai untuk mengurat masturat. "Tapi, kegelapan tidak boleh terhapus dengan kata-kata. Ia (kegelapan) hanya pergi setelah datangnya dian pelita."

Hari ini ,saya terbaca ungkapan ini,bila saya fikir dan renungkan kembali memang betul apa yang dikatakan oleh ahli falsafah ini,semua benda yang kita hendakkan,tidak akan dapat hanya sekadar dengan kata-kata,tetapi perlulah ada usaha untuk kita mendapat apa yang kita kejari.

saya terfikir keadaan yang berlaku dinegara kita Malaysia sekarang,berbagai-bagai peristiwa berlaku,masalah sosial yang amat teruk,kes culik,kes rogol,kes bunuh dan banyak lagi masalah jenayah yang amat meruncingkan sekarang.

Kadang-kadang kita dapat lihat orang yang tak bersalah dihumban ke penjara,orang yang bersalah dibebaskan melayari kehidupanya dengan penuh ketenangan,apakah ini satu diari kehidupan masyarakat sekarang,yang kebanyakan memikirkan hal masing-masing,sehingga mereka tidak nampak kerakusan manusia disekeliling mereka.

"Menurut taklimat polis kepada Perdana Menteri, jenayah ganas meningkat 13.4 peratus. Kes rogol naik 30 peratus manakala rompakan berkumpulan melonjak 160 peratus. Mencabul kehormatan naik 12.4 peratus, pecah rumah waktu malam bertambah 21.7 peratus, pecah rumah siang hari naik 4.2 peratus, curi motosikal meningkat 3.2 peratus, curi kereta naik 11.4 peratus dan kecurian lain naik 5.1 peratus."(Harakahdaily.net 13 Januari 2008)

Melihat daripada statistik yang dikeluarkan ini ,Kita dapat lihat bahawa kadar jenayah dan moral diMalaysia amat merungcingkan yang tidak menampakkan ia akan selesai.Jesteru itu saya berpandangan agar pihak kerajaan mengkaji agar masalah ini dapat diselesaikan yang amat membimbangkan keselamatan rakyat dan Negara.

Begitu juga dengan rakyat dan masyarakat seharus bangun dari lena yang panjang dan mimpi yang indah untuk mengubah keadaan ini agar cerah yang kita impikan tidak menjadi gelap dan agar gelap itu tidak berpanjangan.......

"Ya Allah, bangunkanlah untukku sebuah rumah disisi-Mu di dalam syurga dan selamatkan aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari orang yang zalim," Surah at-Tahrim, ayat 11).

Wednesday, January 9, 2008

Muharam Vs New Year

Tahun baru Hijrah menjengah tanpa kita sedari. masih banyak rasanya tugas dan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa masih belum tertunai. Kata orang tahun baru, azam baru. Terpulanglah pada diri masing-masing untuk merealisasikannya..Sedar tak sedar, kita sudah hampir ke akhir fasal. Bagaimanakah persediaan kita dengan madah-madah yang kita ambil. Buatlah persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan agar kesilapan yang lalu tidak berulang. Ingatlah jika anda berhasrat untuk Berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut

Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan dan rahmat kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhlukNya.

Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mukjizat kepada Nabi-nabinya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurnianya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambaNya. Sebagai tanda kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambaNya mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu, masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura(10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, “ Hari ini Allah menangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini ”. Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa.

Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini sepertimana terdapat dalam satu hadis. “ Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan mengenyangkan perut mereka.

Sahabat pun bertanya, “ Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari ”. Jawab Rasullullah, “Benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz pada hari Asyura dan juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke Syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub. Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura”.

Maka pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islamyang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, dimana hari itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka beerti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah pada waktu itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.

“ Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa kepada sesiapa yang tidak suka boleh meninggalkannya”. Begitulah sabda Rasullullah di mana puasa pada hari Asyura ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya adalah sunat.

Dalam bulan muharram imam ghazali ada menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub tentnag sejarah 10 muharram iaitu:

1 Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
2 Diterima taubat Nabi Adam a.s.
3 Dicipta Adam a.s.
4 Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
5 Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
6 Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
7 Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
8 Selamat Musa dan pengikutnya.
9 Lemas Firaun.
10 Dilahirkan Nabi Isa a.s.
11 Diangkat Nabi Isa kelangit.
12 Diangkat Nabi Idris ke langit.
13 Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
14 Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
15 Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
16 Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
17 Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
18 Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
19 Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.


Dalam singkapan sejarah ini maka kita seharusnya mengambil pedoman atas apa yang Allah kurniakan bagi nabi-nabinya yang berdakwah kejalanya tetapi sebaliknya bagi golongan yang menentangnya adalah azab yang sangat pedih.Begitulah kehidupan seharian kita yang seharusnya kita hidup untuk mendapat keredhaan Allah.

Dalam kita berbicara tentang Muharram ikita jugak tidak harus lupa bahawa tahun 2007 baru melabuhkan tirainya.Maka 2008 tiba membawa obor dan harapan baru bagi kita yang akan meneruskan kehidupan sebagai hambanya.Marilah sama-sama kita koreksi diri dan melihat kembali kehidupan kita sepanjang tahun 1428 & 2007 ini adakah mencapai target kita sebagai seorang penuntut ilmu,sebagai manusia dan yang paling penting kehidupan kita sebagai hambanya.

Kedatangan tahun baru 1429H & 2008M bakal disambut dengan penuh meriah bersama dengan azam, semangat serta seribu harapan ke arah membentuk kehidupan yang lebih cemerlang. Ada manusia yang berjaya mengotakan apa yang dicita-citakan kerana kesungguhan diri ke arah merealisasikan apa yang dikata. Tidak kurang cita-cita dan azam hanya mampu terukir di mulut sahaja sedangkan hasilnya tidak ke mana disebabkan kealpaan diri yang lebih banyak berangan daripada melaksanakan perancangan. Itulah adat kehidupan manusia yang sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri di mana ada yang tahu kekurangan diri maka dia sentiasa memperbaikinya dari hari ke hari ke arah yang lebih baik dan tidak kurang yang jahil tentang kekurangan yang ada sehingga dia terus alpa sebagai manusia yang tidak sedar diri di mana akhirnya ia bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri malah turut memberi kesan kepada masyarakat sekitar.

Kehadiran tahun baru juga tidak sepatutnya disia-siakan sehingga kita sebagai umat pilihan terus tertindas akibat meninggalkan ajaran Islam yang sebenar. Sampai bilakah keadaan kita terus dihina dan dianggap sebagai umat yang tidak berguna. Tidak cukupkah lagi penderitaan yang ditanggung dan penghinaan yang dihadapi selama ini. Adakah cukup sekadar merayakan kehadiran tahun baru saban tahun sedangkan hakikat kebahagiaan sebenar yang dikejar iaitu ingin kembali maju dalam membina tamadun yang selari antara kemanusiaan dan kebendaan berasaskan Islam belum dapat digapai. Adakah sudah cukup kita bergembira menyambut kedatangan tahun baru dengan gelak ketawa sedangkan masih ramai saudara seagama berteriak menangis memohon simpati akibat ditindas dan diburu oleh kuffar durjana. Sampai bilakah air mata ini terus mengalir meratapi tubuh umat Islam yang menjadi mangsa percubaan kepada senjata canggih pengganas kuffar dan bilakah lagi kita mahu merasai bagaimana air mata yang mengalir itu merupakan air mata kegembiraan menyambut kemenangan dan kegemilangan Islam.

Hijrah nabi berjaya menghasilkan sebuah pemerintahan yang adil lagi saksama berdasarkan Islam sedangkan penghijrahan umat Islam hari ini akibat dihalau oleh musuh sehingga menjadi pelarian yang terbiar dan mengharapkan ihsan daripada saudara seagama. Hijrah nabi berjaya mengubah kehidupan umat Islam daripada dihina menjadi mulia, daripada lemah menjadi gagah, daripada rakyat yang diseksa kepada pemerintah yang berkuasa tetapi hijrah umat Islam hari ini menambah sengsara dan bebanan yang sudah sedia ada. Hijrah nabi mampu membentuk sebuah negara kebajikan tempat si kaya berbudi, si miskin dirai, si susah dibantu tetapi umat Islam hari ini hidup di sebuah yang kaya dengan hasil mahsul tetapi kesenangan hanya berkisar dan mampu diraih oleh si kaya sahaja sehingga si kaya semakin kaya si miskin papa kedana. Oleh itu mulai tahun baru ini mula orakkan langkah, hayunkan tangan bersama Islam untuk sama-sama berhijrah daripada kekufuran sistem kepada mengislamkan semula semua sistem hidup berdasarkan wahyu Allah demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia fana dan akhirat yang kekal selamanya.

Azam bagi kita umat Islam mestilah selari dengan kehendak agama kita bukan sebaliknya. Kita mesti mengetahui sejauh manakah kemampuan dan kelemahan yang ada pada diri kita dalam mencapai azam yang telah ditanam. Jangan terlalu mengharapkan sesuatu yang luar daripada kemampuan diri kita seumpama ingin memeluk gunung. Ingatlah bahawa azam seseorang mampu membelah sebuah bukit dengan syarat kemampuan yang ada mesti diadunkan dengan istiqomah dan kesungguhan maka ia baru terhasil.Usahakan setiap urusan akhirat kamu seumpama kamu akan mati esok hari dan gandakan usaha untuk dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi. Apa yang penting bagi kita umat Islam dalam menyemat azam baru maka ia mesti berkait antara hari akhirat dengan kehidupan dunia kita. Jika kita memisahkan antara akhirat dan dunia maka kita akan rugi. Begitu juga bila kita melebihkan dunia kita sehingga mengurangkan penumpuan kita pada bekalan untuk meneruskan kehidupan di akhirat sana maka kita akan hina. Ingatlah bahawa dunia adalah jambatan untuk sampai ke negeri akhirat. Oleh itu pastikan niat dan azam kita serasi dengan kehendak agama. Kita dilahirkan untuk beribadat maka jadikanlah setiap niat, gerak geri kita adalah kerana Allah dan untuk membantu Islam bukannya untuk mencapai kepentingan peribadi sahaja.

Ingatlah kita bagaimana Qarun yang berazam tinggi untuk membantu meninggikan kalimah Allah dan juga membantu mereka yang susah apabila nabi Musa mendoakan kepada Allah supaya beliau menjadi kaya raya. Tetapi apabila beliau telah pun hidup dalam penuh kemewahan maka beliau menjadi seteru nabi Musa dan melawan Allah. Begitu juga yang berlaku kepada Tha'labah yang memohon agar Rasulullah s.a.w mendoakan supaya dia menjadi kaya di mana jika dia telah kaya maka akan dibantu perjuangan Islam dan umat yang susah. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya sehingga dia pada mulanya lalai untuk mengerjakan solat kerana begitu sibuk menjaga kambingnya yang bertambah membiak. Selepas itu dia bukan sahaja tidak membantu perjuangan Islam dan umat yang susah tetapi turut engkar membayar zakat. Dia hidup sehingga zaman Sayyidinan Othman di mana pada ketika akhir usia, dia telah dihidapi penyakit kulit yang merbahaya. Ketika ini dia berasa menyesal dan ingin mengeluarkan zakat tetapi sebagaimana Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar yang tidak menerima zakatnya maka begitulah juga apa yang dilakukan oleh Sayyidina Uthman di mana baginda tidak menerima zakat daripada Tha'labah. Akhirnya dia mati dalam keadaan penuh kehinaan dunia dan akhirat.

Melalui kisah ini maka kita mesti mengambil pengajaran yang sewajarnya dalam memastikan segala azam kita bertepatan dengan Islam dan disertai dengan perlaksaanannya yang bersungguh. Ingatlah kita bahawa beredarnya tahun demi tahun maka ia meningkatkan lagi usia kita. Bertambah meningkatnya usia kita maka umur kita semakin tua. Semakin bertambah kita maka semakin hampir kita kepada kematian yang sudah semestinya dirasai oleh setiap insan yang bernyawa. Oleh itu pastikan setiap azam dan tindakan kita selari dengan Islam. Jangan terlalu cintakan dunia dengan panjang angan-angan sehingga takut kepada kematian. Sebaliknya kita mesti cintakan mati agar setiap gerak geri kita tidak akan melanggar peraturan Allah bagi mencapai kebahagian hidup di dunia sementara dan akhirat yang kekal selamanya.

Semoga kedatangan tahun baru ini akan membawa sinar kebahagiaan kepada seluruh umat Islam khasnya dan umat manusia amnya apabila Islam yang kini dipersenda akan menjadi peneraju dipersada dunia, Islam yang kini dipadang hina akan kembali dilihat sebagai agama yang penting dan berguna kepada seluruh umat manusia. Dunia kini yang suram daripada kasih sayang kembali ceria dan bahagia disirami oleh belaian kasih berasaskan iman. Dunia kini yang diterajui oleh pengganas yang merosak keharmonian dengan tangan yang lebih banyak membunuh manusia daripada membelai insan sejagat dengan penuh belas kasihan akan kembali aman apabila terjau dunia bertukar kepada hamba Allah yang soleh dan bertaqwa yang sentiasa membimbing umat manusia ke arah mencari hakikat kehidupan yang sebenar. Dunia kini yang banyak menumpahkan darah demi mencapai kekayaan kembali kepada umat yang bencikan peperangan dan cintakan kedamaian apabila perasaan menghormati antara satu sama lain serta mencari kekayaan dunia berasaskan syarak bukannya terpedaya dengan tipu daya syaitan durjana. Dunia kini menjadi tempat beradu kekuatan kuasa demi membolot kemewahan dunia sehingga ramai yang terkorban kembali menjadi dunia yang tenteram disuluhi cahaya ilmu sehingga hawa nafsu mampu dikalahkan.

Menulis Tentang Palestin

Menulis Tentang Palestin.

Oleh: Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak*

Ketua Biro Akademik 2007/2008

Untuk kali ini saya diberi peluang oleh BPP untuk menulis tentang Palestin. Sememangnya satu isu yang perlu diambil berat oleh mahasiswa terutamanya mahsiswa Jordan.

Mengapa membicarakan Palestin?.

Sering kali timbul dalam fikiran kita, mengapa palestin? sedangkan di sana banyak lagi isu lain seperti isu selatan Thailand dan Filipina. Kashmir, Afghanistan, iraq. Tanpa menafikan isu lain, palestin tetap menjadi isu utama yang perlu diperjuangkan.

Kepentingan bumi Palestin telah dibuktikan di banyak tempat dalam al-Quran dan hadis. Kepentingan terbesarnya ialah kerana di sana terdapatnya Baitul Maqdis, tempat paling suci selain bumi Hijaz (Mekah dan Madinah). Masjid Al-Aqsa merupakan masjid ke dua dijadikan Allah 40 tahun selepas masjidil haram ( hadith abu dzar dalam sahih bukhari )

Dari sudut sirah nabawiah pula tempat ini menjadi bukti berlakunya peristiwa israj wal mi’raj yang diimani oleh ummat islam. Khazanah sejarah islamnya bermula sejak nabi Adam hinggalah nabi Muhammad. Bumi yang dilahirkan dan diwafatkan didalamnya ramai para rasul dan anbiya. Juga diberi ganjaran pahala bagi sesiapa yang solat di sana.

Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani)

Bumi palestin juga sinonim dengan dengan jihad dan kumpulan-kumpulan umat islam yang berpegang teguh dengan kebenaran dan hak-hak umat islam sehingga hari kiamat ( riwayat at-Tabarani )

Mengapa mereka kembali?

Isu Palestin seharusnya difahami dengan faktor kembalinya yahudi ke tanah suci. Bagi mereka yang mengkaji sedarlah mengapa masyarakat sanggup berhijrah ke bumi itu dengan sanggup meninggalkan kemewahan yang mereka kecapi di Eropah sebelum itu. Ada yang menyatakan faktor agama yang mendorong mereka dengan anggapan bahawa palestin adalah tanah yang dijanjikan oleh Tuhan Yehwah kepada mereka (Dan kepada keturunanmu akan kuberikan tanah ini), Genesis 12:7. Namun faktor konvensyen World Zionist Organisation (WZO) pada tahun 1897 di Basle, Switzerlandlah yang menjadi titik tolak kepada penghijrahan beramai-ramai Yahudi dari seluruh dunia ke bumi Palestin. Penghijrahan kaum Yahudi walau bagaimanapun hanya berlaku 20 tahun selepas kejatuhan Khilafah uthmaniah.

Penguasaan Mereka

Tahun 1947 menyaksikan komuniti yahudi telah mencapai 630 ribu orang dengan PBB meluluskan resolusi 181 pembahagian antara Palestin dan Israel. Setahun kemudian mereka mengisytiharkan negara Israel dengan merampas tiga perempat dari wilayah Palestin. Jumlah penduduk Palestin turun secara drastik dengan 130 ribu orang berbanding 1.3 juta pada tahun sebelum itu akibat pembunuhan secara besar-besaran dan pengusiran. Kemudian tercetus perang Arab-Israel pertama ( 1948 ) yang menyaksikan kekalahan tentera Arab. Hasilnya, Keluasan Israel bertambah 77%.

Selepas peperangan Jun 1967 ( perang 6 hari ) mereka menguasai Tebing Barat, Sinai di Mesir dan bukit Golan di Syiria. Juga menguasai baitul Maqdis timur. Maka lenyaplah peta Palestin di muka bumi. Ketika itu juga dengan angkuh, mereka merasakan tiada siapa yang boleh mengalahkan mereka lagi.

Rejim Zionis menjadi semakin takabbur apabila mereka mempunyai kelengkapan persenjataan yang tercanggih di dunia yang dibekalkan oleh AS. Dengan diwar-warkan sebagai tentera keempat terkuat di dunia dan selepas kekalahan Iraq pada peperangan teluk yang pertama dan kedua, rejim Zionis merasakan diri merekalah kuasa terkuat di rautau ini.

Dari sudut ekonomi pula, Menurut sumber Zionis, jumlah pelaburan para pemodal pro-Zionis kini telah mencapai lebih 15 billion Dollar Amerika di serata dunia. Sam Olfenar, pengerusi kesatuan pemodal-pemodal di negara (haram) Israel telah mengatakan tidak ada satu pun perniagaan hartanah gergasi di seluruh dunia yang tidak disertai oleh para pemodal pro-Zionis.

Begitulah kekuatan Israel dari sudut ketenteraan, politik dunia dan juga ekonomi. Bangsa yang kecil menguasai bangsa-bangsa lain di dunia ini. Hinggakan agak mustahil untuk membebaskan diri dari penguasaan mereka.

Mengiktiraf Israel.

"Teruk la orang Palestin nih, berdamai je la dengan Israel, iktiraf jela israel, habis cerita "

Adakah selesai masalah dengan mengiktiraf Israel? Mengiktiraf Israel seolah-olah memperakukan penubuhan negara haram di bumi Palestin. Mengiktiraf mereka juga menghalalkan pembunuhan dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun. Mengiktiraf mereka juga bermakna mengkhianati 5 juta pelarian palestin dan yang paling utama mengiktiraf mereka bermakna kita meredhai hasrat mereka menghancurkan baitul Maqdis, tempat suci kita.

Lakukan sesuatu. Hulurkan sumbangan anda., boikot barangan Zionis, sedarkanlah masyarakat akan perjuangan ini dan berdoalah agar bumi palestin akan kita genggam kembali. Ingatlah kata-kata sultan Abdul Hamid 2 ketika menerima tawaran dari pihak yahudi.

Palestin bukan milikku. Bukan milik bangsa Turki tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis juga bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam keseluruhannya. Aku tidak akan sekali-kali menyerahkan bumi Palestin walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian untuk mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka.

*penulis mewakili Biro Akademik mengucapkan selamat menyambut Aidil adha dan Tahun baru.

Friday, January 4, 2008

Renungan Bersama


DI MANA SENSITIVITI UMAT ISLAM ?
Oleh : Muhamad Hafizuddin Ishak

Pada 23 Julai 2006, satu perhimpunan telah diadakan dan dinamakan sebagai Perhimpunan Sejuta Rakyat untuk menentang Lina Joy yang telah murtad. Perhimpunan ini telah diadakan pada di Masjid Wilayah Persekutuan. Dalam perhimpunan tersebut telah diadakan forum yang dibarisi oleh Dato’ Harussani Mufti Perak, peguam dan pensyarah. Sebelum itu, pada 18 Julai yang lalu demi menangani isu murtad di negara ini, satu badan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Front Bertindak Anti Murtad (Frokad) diwujudkan oleh segolongan masyarakat Islam yang prihatin.

Selain itu isu murtad ini hangat dibahaskan di Dewan Rakyat negara kita pada 16 Julai rentetan kewujudan kumpulan Artikel 11 yang mempunyai agenda untuk memastikan individu yang beragama Islam bebas menukar agamanya atau dalam erti kata lain menghalalkan 'murtad'. Kumpulan ini juga mencabar hak umat Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan Mahkamah Syariah adalah 'defender' kepada hak ini untuk dipertahankan, katanya. Usaha kumpulan ini tidak kurang bezanya dengan IFC yang hangat diperkatakan dahulu.


Dalam artikel ini, penulis ingin menjelaskan berkenaan artikel 121 ( 1A ) yang turut menjadi isu hangat yang dibahaskan di Malaysia kini. Namun semua perbahasan ini hakikatnya membawa kepada satu kesimpulan, menafikan hak umat Islam dan meremehkan isu murtad.

Apa itu Artikel 121 (1A)

Artikel 121 (1A) adalah peruntukan perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah Syariah.

Adakah Artikel 121 (1A) wujud dari dahulu?
Tidak. Sebelum 1988, urusan-urusan mahkamah Syariah selalu diganggu oleh mahkamah Sivil. Apa yang telah diputuskan di Mahkamah Syariah dengan mudahnya dikacau oleh mahkamah Sivil. Hal ini sebenarnya mengganggu urusan orang Islam kerana orang Islam mempunyai hak dan kewajipan untuk dihukum di Mahkamah Syariah. Tokoh-tokoh seperti Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim telah berusaha lama untuk memastikan urusan Mahkamah Syariah bebas dan tidak diganggu oleh Mahkamah Sivil, dan hanya pada tahun 1988, peruntukan (1A) dimasukkan. Mahkamah Syariah mula ada kebebasan setelah 31 tahun Malaysia merdeka.


Kenapa perlu bagi ruang pada mahkamah Syariah?

Dari sudut sejarah, Mahkamah Syariah telah wujud sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dengan wujudnya undang-undang seperti Undang-Undang Melaka. Semua negeri di Tanah Melayu mempunyai undang-undang Islamnya sendiri. Namun kewujudannya telah dikacau oleh penjajah sewaktu penjajahan mereka dan akhirnya mula Inggeris mula memperkenalkan undang-undang Common Law bermula dengan perjanjian Pangkor 1786, Piagam Keadilan 1807 dan piagam Keadilan 1824. Malah dalam satu kes, Ramah vs Laton (1927) 6 FMSLR (CA) telah diputuskan:

"Muslim law is not foreign law, it is the law of the land; and the local law is a matter of which the Court must take judicial notice. The Court must propound the law and it is not competent for the court to allow evidence to be led as to what is the local law." Ini bermaksud, undang-undang Islam itu adalah satu lex loci (law of the land), atau undang-undang sebenar di Tanah Melayu. Justeru, hak orang Islam sebenarnya telah mula dinafikan secara tersusun semenjak 1786 lagi, dan hanya pada 1988 barulah Mahkamah Syariah dapat bernafas semula.


Adakah Artikel 121 (1A) mengganggu hak orang bukan Islam?

Tidak. Sebenarnya ia memberi semula hak orang Islam yang telah lama dihilangkan walaupun undang-undang Islam adalah lex loci. Kewujudan mahkamah Syariah sebenarnya tidak langsung mengacau hak orang bukan Islam di Malaysia.


Apakah impak Artikel 121 (1A) kalau ia digugurkan?

Antara impaknya adalah orang Islam akan kehilangan hak. Ia tidak sama sekali mewujudkan keharmonian dalam negara kerana orang Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia. Sedangkan kewujudan 121 (1A) tidak pernah menghilangkan hak orang bukan Islam. Selain itu, kedudukan mahkamah Syariah akan kembali mundur seperti sebelum tahun 1988, di mana Mahkamah Sivil boleh mencampuri bidang kuasa Mahkamah Sivil.


Apa salahnya orang Islam menuntut di Mahkamah Sivil? Bukankah wujudnya mahkamah Syariah menyusahkan sahaja?

Kalau begitu, saya ingin bertanya balik, "Apa salahnya orang bukan Islam hanya dibenarkan menuntut di Mahkamah Syariah? Bukankah wujudnya Mahkamah Sivil menyusahkan sahaja?" Itu hak kami. Kewajipan kami sebagai orang Islam, dihukum dengan undang-undang Islam.


Dalam kes Moorthy, apa sebenarnya yang berlaku?

Mohamad b Abdullah atau Moorthy ini sebenarnya tidak pernah dipaksa memeluk Islam. Selepas kematiannya, JAWI menuntut agar mayatnya dikebumikan menurut upacara Islam. Keluarganya tidak berpuas hati dan ada pihak cuba mengambil kesempatan dari kelemahan perlaksanaan undang-undang ini dengan cuba menjadikannya satu isu diskriminasi dan kehilangan hak orang bukan Islam. Kalau lemahnya dari sudut perlaksanaan, seharusnya semua pihak berusaha agar kelemahan itu dibaiki. Bukannya bersikap, "Marahkan nyamuk, kelambu dibakar."

Kita akui mahkamah Syariah masih belum sempurna, kita perlu satu mekanisma yang baik bagi membolehkan isu sebegini ditangani secara bijak. Tetapi kini, isunya sudah bertukar. Saya boleh sebut, kes Moorthy hanya dijadikan "sebab" untuk mereka yang telah lama memperjuangkan IFC dan sekutu mereka. They are playing the cards now. Mereka sengaja memainkan isu demi isu untuk melemahkan undang-undang Islam tanpa berfikir dan bertindak dengan baik bagi mengatasi masalah yang perlu ditangani secara rasional dan bukannya emosional.


Jadi, Artikel 121 (1A) bukan isu?

Tidak sama sekali. Ada pihak yang sedang memanipulasikan isu Moorthy agar ia kelihatan seperti isu Artikel 121 (1A), seterusnya mendesak ia dipinda. Saya percaya, sekiranya tuntutan mereka gagal kali ini, seperti IFC, mereka akan tunggu isu yang lain, dan mereka akan memanipulasikan isu tersebut untuk kepentingan mereka. Dan mereka bersuara di belakang slogan hak bukan Islam, hak minoriti dan sebagainya.


Apa yang terbaik sebenarnya?

Seperti yang disebut dari awal, Artikel 121 (1A) tidak pernah menganggu gugat hak orang bukan Islam. Ia cuma memberikan hak orang Islam dan mahkamah Syariah kembali kepada asal. Tetapi Artikel 121 (1A) tidak cukup. Ada banyak lagi perlu dibaiki untuk kebaikan bersama. Ini yang perlu dibincangkan. Bukannya menuntut sesuatu yang menyebabkan status Mahkamah Syariah mundur ke belakang. Justeru, kalaulah kes Moorthy itu isunya, maka fikirlah satu mekanisma lain yang membolehkan isu sebegitu dibaiki di masa depan, dan bukannya isu Moorthy tersebut dimanipulasikan untuk kepentingan pihak tertentu.

Contohnya menetapkan, orang yang memeluk Islam perlu beritahu kepada keluarga. Tidak boleh sorok-sorok. Jabatan-Jabatan Agama Islam wajib membimbing dan menjaga kebajikan orang yang baru memeluk Islam. Dan isu seperti perwarisan harta yang boleh diatasi dengan baik. Dan sebagainya. Artikel 121 (1A) adalah satu peruntukan yang baik untuk keharmonian agama. Ia perlu dikekalkan dan perlaksanaannya perlu dibaiki dari masa ke masa.


Kata-kata akhir?

Sebenarnya, umat Islam yang sebenarnya banyak dinafikan hak mereka. Kita ada beberapa undang-undang yang menafikan orang Islam dari dihukum dengan peruntukan undang-undang Islam. Seperti Civil Law Act 1956, Courts of Judicature Act 1964, S.51 of Law Reform (Marriage & Divorce) Act 1976, Specific Relief Act 1950 dan beberapa akta lagi.

Kita sedar, undang-undang ini perlu dipinda demi mengembalikan hak orang Islam, tetapi kami berusaha ke arah pembaikannya secara baik agar tidak menjejaskan keharmonian kaum dan agama. Kita tidak pernah mendesak seperti mereka yang mahukan Artikel 121 (1A) ini dipinda yang secara jelas cuba menghina orang Islam dan kedudukan agama Islam di Malaysia.Hak minoriti dan bukan Islam sentiasa dipastikan agar ia tidak terganggu sebab itulah usaha membaiki undang-undang ini dibuat secara perlahan dan menerusi pendidikan.

Sejadah Biru..

Lautan manusia di Masjidil Haram, Makkah pada 26 Disember 2006 (6 Zulhijah 1427H)

Terkenang aku satu kenangan yang amat bermakna dalam hidupku,kisah seorang hamba yang dhaif ini mengembara bersama teman-teman untuk mencari keredhaan Allah, aku bermusafir dari tanah syam ke tanah Hijaz dengan menaiki bas hampir 1500 km untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam pada bulan zulhijjah 1427 yakni menunaikan haji diBaittullah, Alhamdulillah aku dan teman-teman yang lain selamat menunaikan haji pada tahun lepas.

Sejadah biru, ya, bila aku melihat sejadah biru terasa kerdilnya diri ini didunia, terkenang aku sewaktu aku menunaikan fardhu Haji, pada suatu hari diMakkah, aku dan sahabat aku gmin berjalan-jalan melihat sekeliling diluar Masjidil Haram, melihat lautan manusia dari segenap lapisan, peringkat umur, warna kulit dan dari pelbagai negara, yang semuanya datang untuk mengabdikan diri pada yang satu. Dalam kesibukan manusia disekeliling, Terdengar alunan suara azan memecah kesibukkan manusia, ya besarnya Kuasamu Ya Allah, dengan tanpa disuruh dan tanpa dipaksa jutaan manusia yang tadinya sibuk membeli belah, dan sibuk dengan urusan masing-asing berhenti dengan serta Merta menuju kearah kiblat bagi sujud menyembah Tuhan yang satu.

Tidak lepas jugak bagi aku dan Gmin untuk bersama-sama menyembah Tuhan yang satu,Maha suci Allah terlampau ramainya umatmu yang patuh akan suruhmu dan inginkan keredhaanmu sehingga dalam dan luar Rumahmu penuh dengan jutaan manusia.Aku tidak sempat untuk masuk kedalam pada waktu itu,jadi aku dan Gmin membeli sejadah untuk sujud kepada Allah yang maha pengasih untuk menunaikan kewajipan sebagai hambanya.Ye,itulah sejadah Biru..........